![]() |
||||||||||||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Sejarah Pendidikan || Pendidikan Sekolah Cina || Pendidikan Sekolah Tamil || Sekolah Rendah Kebangsaan || Pendidikan sekolah Inggeris
Sebelum tahun 1916, kanak-kanak keturunan Cina tidak mendapat pendidikan melainkan belajar di rumah-rumah.
Sehinggalah pada tahun 1916, di Tumpat, beberapa orang-orang kenamaan iaitu En. Foo Ah Sang, En. See Sang Chan, En. Ong Peng Chiang dan beberapa orang yang lain telah menubuhkan 'Kelab China' untuk mengadakan Sekolah Yuk Tse. Pada masa ini hanya ada seorang guru dan 30 murid. Pada 1961, Sekolah Yuk Tse telah menerima bantuan penuh Kerajaan dan ditukar nama kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Yuk Tse, Tumpat dan pada tahun 1968 telah berpindah ke Kompleks Sekolah di Kampung Kelaburan, Tumpat bersama dengan sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Inggeris) dan Sekolah Menengah Kebangsaan.
En. Wee Giok Chai, En. Tan Beng Chin, En. Yeap Guan Soon, En. Foo Hong Sang dan beberapa orang lagi telah menubuhkan sebuah sekolah bernama Sekolah Yeok Teck pada 17.2.1918 dengan tiga guru dan 80 murid. Sekolah ini adalah sekolah campuran dan percuma. Untuk menjimatkan belanja dan tenaga, kedua sekolah ini Sekolah Yeok Teck dan Sekolah Yock Cheng dicantumkan menjadi Sekolah Chung Hwa Wu-Pen dan berpindah ke tapak baru di Jalan Atas Banggol pada tahun 1928. Pada tahun 1933 nama sekolah telah ditukar menjadi Sekolah Chung Hwa dan telah menjadikan Tingkatan Junior Middle pada tahun 1950 dan Tingkatan Senior Middle pada 1959. Kemudian pentadbiran dua bahagian ini diasingkan pada 1959. Bahagian sekolah rendah menerima bantuan penuh pada 1958 dan ditukar kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa pada 1962. Bahagian Sekolah Menengah menerima bantuan penuh pada tahun 1962 dan ditukar ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa.
Pada 1926, peniaga-peniaga di Pasir Mas telah menubuhkan sebuah sekolah iaitu Sekolah Yuk Eng dengan 20 orang murid dan satu orang guru. Sekolah ini telah menerima bantuan penuh dan ditukar nama kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Eng, Pasir Mas.
Pada Ogos 1928, peniaga-peniaga Cina Pasir Puteh yang terdiri daripada En. Lau Moh Lim, En. Lim Way Kheng, En. Won Per Jit dan lain-lain menubuhkan Sekolah Kai Chih. Pada masa ini hanya ada 20 orang murid dan seorang guru. Pada 1958 sekolah ini mendapat bantuan penuh dan ditukar nama kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Kai Chih.
Pada 1929, orang-orang Cina di Tabal telah mendirikan sekolah Chong Teck tetapi sekolah ini ditutup pada 1952.
Pada tahun 1931, sebuah sekolah didirikan di Melor iaitu Sekolah Hwa Kiaw, tetapi telah ditutup pada 1960.
Pada 1934, En. Ong Chow Chieng, telah mengadakan sekolah persendirian di rumahnya, di Temangan dengan nama 'Pei Cheng School'. Hanya terdapat satu orang guru dengan 10 orang murid sahaja. Pada 1946, sebuah sekolah lagi didirikan di Temangan iaitu 'Sekolah Peng Min' dengan murid seramai 30 orang. Akhirnya pada 1951, kedua0kedua sekolah ini Sekolah Pei Cheng dan Sekolah Peng Min dicantumkan dan diberi nama 'Sekolah Chung Hwa'. Setelah mendapat bantuan penuh sekolah ini ditukar menjadi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa.
Pada 1936, orang-orang Cina di Ketereh, telah mendirikan 'Sekolah Nam Wah' tetapi telah ditutup pada 1970.
Pada tahun 1937, kedua-dua sekolah ini didirikan iaitu Sekolah Cheng Wah di Jelawat dan Sekolah Cheng Boon di Bandar Bachok. Kedua-dua sekolah ini ditutup pada 1964.
|