![]() |
|
|---|---|
Sejarah Pendidikan || Pendidikan Sekolah Cina || Pendidikan Sekolah Tamil || Sekolah Rendah Kebangsaan || Pendidikan Sekolah Inggeris
Perkembangan Sekolah-Sekolah Tamil di Kelantan selari dengan perkembangan peranan getah yang mana ia juga dikenali sebagai 'Estate School'. Sekolah-sekolah estet wujud terutamanya di Ulu Kelantan kerana sebahagian besar ladang getah terletak di kawasan ini. Pada tahun 1928, terdapat 14 buah sekolah estet yang mana sekolah-sekolah ini diadakan oleh majikan-majikan ladang. Sehinggalah pada tahun 1923, Kerajaan telah mengeluarkan satu undang-undang iaitu 'Labour Code' yang mewajibkan semua majikan ladang menyediakan sekolah-sekolah di ladang-ladang mereka. Sukatan pelajaran dan guru-guru sekolah Tamil ini adalah berdasarkan sistem pelajaran di India. Sebahagian besar (75%) murid-murid sekolah Tamil belajar setakat darjah satu dan dua sahaja manakala 25% lagi belajar ke peringkat yang lebih tinggi tetapi tidak lebih daripada sekolah rendah sahaja. Selepas 'Labour Code' 1923 diperkenalkan, bilangan sekolah Tamil telah meningkat tetapi pada tahun 1930an sekolah-sekolah ini pupus. Hanya ada satu buah Sekolah Tamil pada tahun 1935. Selepas Perang Dunia Kedua, iaitu pada tahun 1947 sekolah-sekolah estet di Kelantan hanya ada 5 buah dengan murid seramai 185 orang dan 6 orang guru sahaja. Bilangan sekolah estet meningkat dua kali ganda pada tahun 1955 menjadi 10 buah dengan murid seramai 214 orang dan guru seramai 11 orang. Malangnya, pada 1966 hanya tinggal 5 buah sekolah sahaja. Sehinggalah sekarang hanya ada dua buah sekolah sahaja berfungsi sebagai Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil, di seluruh Kelantan iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Pasir Gajah, Kuala Krai dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Kerilla, Temangan, Machang.
|