t o k o h   m u f t i
 
         
 


DATO' HAJI ahmad maher bin ismail
1904 - 1968

Putera sulung Tok Kemuning. Lahir di Ma’ala, Mekah pada bulan Ramadhan 1322H (November 1904) semasa ayahandanya sedang belajar di sana. Pulang ke Kelantan pada usia 9 tahun, lalu diserah belajar di Pondok Tok Kenali dan kemudiannya mengikuti halaqah kitab di Masjid Besar Kota Bharu. Disamping itu berguru juga kepada Tok Khatib Haji Nik Abdullah, Haji Ahmad Hakim dan Maulana Tok Khurasan. Pada tahun 1925 beliau berangkat ke Mesir dan belajar di Universiti Al-Azhar, dimana beliau beroleh gelaran “Maher” daripada gurunya Syeikh Mohd. Bakhit bin Husain al-Hanafi kerana kemahirannya dalam ilmu Usul al-Fiqh dan Balaghah

Sekembali ke Kelantan, beliau dilantik menjadi Nazir Pelajaran di Pejabat Pelajaran MAIK
pada 1hb. Julai 1931, dan kemudiannya pada 15hb. Oktober 1935, menjawat jawatan Qadhi Besar Kelantan. Berikutan permohonan bersara oleh Dato’ Haji Ibrahim Yusoff daripada jawatan Mufti pada Jun 1941, beliau dilantik memangku jawatan berkenaan sehinggalah apabila beliau disahkan dalam jawatannya pada 1hb. Januari 1945. 

Dato’ Haji Ahmad Maher ialah seorang Mufti yang mempunyai banyak kebolehan. Disamping alim dalam berbagai-bagai ilmu Islam dan ilmu-ilmu alat, beliau juga seorang pentadbir yang aktif dan berdedikasi. Selama tempoh perkhidmatannya selaku Nazir Pelajaran MAIK, beliau telah mengadakan beberapa pembaharuan dalam sistem kurikulum pengajian halaqah kitab di Masjid Muhammadi Kota Bharu. Kerana pembaharuan- pembaharuan beliau inilah Masjid Muhammadi kemudiannya muncul menjadi sebuah pusat pengajian ilmu-ilmu Islam secara teratur dan sistematik sehingga berjaya melahirkan ramai ilmuan Islam yang terkenal dan dihormati. Setakat ini, beliau adalah Mufti Kelantan tunggal yang pernah dilantik menjadi Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kelantan. Kekal menjadi Mufti sehingga ke akhir hayatnya pada 16hb. Mac 1968.